Saturday, October 24, 2009

Peladang mampu raih pendapatan lumayan

Peladang mampu raih pendapatan lumayan
Berita Harian, 9 Apr 2003

PELADANG mengusahakan tanaman berasaskan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang sekali gus melayakkan mereka memperoleh Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM), mampu memperoleh pendapatan bulanan lumayan.

Harrani Dayat, 32, yang mengusahakan sayuran-sayuran bernilai tinggi seperti tomato, terung dan cili di ladangnya di Kota Tinggi dan Batu Pahat, mengakui amalan pertanian baik turut meningkatkan produktiviti sekali gus mampu memberi pulangan lumayan.

Beliau yang sudah menceburi bidang pertanian sejak sembilan tahun lalu, kini mengusahakan sayur-sayuran mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan itu di ladang seluas dua hektar di Kota Tinggi dan 0.8 hektar di Batu Pahat.

Bekas kakitangan kerajaan itu baru saja menerima sijil SALM daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Othman Jais, yang mewakili Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi pada majlis di Hotel The Puteri Pan Pacific, Johor Bahru, 3 April lalu.

Ketika ditemui, Haryani berkata, pengiktirafan SALM penting sebagai jaminan kepada pengguna mengenai kualiti hasil pertanian yang dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Sijil ini juga membolehkan peladang berusaha meningkatkan kaedah pertanian ke arah penggunaan teknologi moden serta memaksimumkan penggunaan tanah.

"Sebagai pulangan, hasil pertanian dapat dijual dengan harga lebih baik kerana kualitinya yang tinggi. Pengguna tetap memilih hasil pertanian terbaik untuk dimakan tanpa mengambil kira harganya," katanya.

Harrani mampu menanam 10,000 pokok tomato dalam satu hektar tanah dengan setiap pokok boleh mengeluarkan hasil empat hingga lapan kilogram.

Bagi terung pula, beliau dapat menanam 3,500 pokok dalam satu hektar tanah dengan setiap pokok mengeluarkan hasil sebanyak lapan kilogram manakala 7,000 pokok cili ditanam dalam satu hektar yang boleh mengeluarkan tiga hingga empat kilogram hasil setiap pokok.

"Walaupun kita perlu mengeluarkan modal agak besar kerana perlu mengimport benih dari luar negara dan membeli peralatan pertanian moden, hasil dikeluarkan berkualiti tinggi dan memudahkan kita memasarkannya," katanya.

Harrani berkata, beliau turut melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap penggunaan baja dan sistem pertanian untuk menghasilkan produk bermutu tinggi, selamat dan sesuai dimakan.

Beliau yang menggunakan kaedah sistem pertanian fertigasi iaitu satu sistem nutrien (NPK dan nutrien mikro) bagi pertumbuhan tanaman dilarutkan di dalam air dan dibekalkan kepada tanaman melalui sistem pengairan titis.

Katanya, menerusi teknologi fertigasi, petani boleh mengawal dan membekalkan air serta nutrien yang cukup dan seimbang mengikut fasa pertumbuhan pokok.

“Kaedah itu juga membolehkan tanaman membesar dengan sihat dan subur serta berupaya mengeluarkan hasil maksimum dan bermutu tinggi,” katanya.

Harrani turut merancang menanam sayuran bernilai tinggi seperti capsicum, timun Jepun dan terung Holland kerana permintaan sayuran itu di pasaran tempatan adalah baik.

Seja o primeiro a comentar

Cili Fertigasi ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO